BERNAMA.com – Wanita harus waspada ancaman penjenayah

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan wanita agar sentiasa berwaspada dan tahu bagaimana untuk mempertahankan diri sekiranya diancam penjenayah.

Beliau berkata wanita juga perlu mengelak daripada berjalan seorang diri di tempat awam terutamanya ketika waktu sunyi iaitu pada awal pagi dan lewat malam.

“Kita ada ‘pepper spray’ (penyembur lada), walaupun saya fikir bukan mudah untuk mempertahankan diri jika kita tidak ada apa-apa, tetapi kita perlu belajar sedikit sebanyak untuk mempertahankan diri kita.

“Sebagai wanita, apabila kita berjalan bersendirian, kita perlu menjaga diri kita. Kita tidak sepatutnya berjalan seorang diri terutamanya ketika tak ramai orang. Masa berisiko. Jadi kita kena jaga juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ‘Malaysia Urban Forum 2019’ di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian samun melibatkan seorang wanita yang menaiki lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras pada Khamis lepas.

Kejadian pada kira-kira pukul 6.45 pagi itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lif itu dan tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman berdurasi 55 saat, mangsa ditumbuk serta ditendang beberapa kali oleh seorang lelaki yang dilaporkan warga tempatan yang turut melarikan barang milik mangsa.

Dr Wan Azizah berkata pengawasan yang lebih menyeluruh di stesen pengangkutan awam juga perlu dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan awam lebih terjamin.

“Memang sepatutnya ada pengawasan sepanjang masa terutamanya dengan CCTV, selain bilik kawalan…sekurang-kurangnya ada tindakan segera (sekiranya berlaku kejadian tidak diingini),” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]