Bernama lancar program bual bicara baharu, bincang isu hartanah

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini melancarkan program bual bicara baharu, ‘Bernama Property Hot Seat Presented By Sunsuria’ yang memberi maklumat secara menyeluruh kepada rakyat mengenai industri hartanah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata program yang berkonsepkan temu bual itu seiring dengan matlamat kerajaan baharu yang lebih fokus untuk membantu golongan B40 memiliki hartanah atau rumah.

“Melalui ‘Property Hot Seat’, saya mahu orang tamai menjadi berpengetahuan (mengenai industri hartanah) terutama dari sudut pandangan pembeli, mereka (pembeli) hendaklah memastikan mereka mengetahui apa yang dibeli dan apakah syarat-syaratnya.

“Pemegang taruh atau para pemain dalam industri hendaklah bersikap jujur, beritahu pembeli apa yang mereka dapat dan apakah syarat-syaratnya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu, di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Zuraida turut berkata rancangan terbitan Bernama News Channel (BNC) tersebut merupakan satu akses kepada pembeli, penjual serta pemaju industri untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Dalam pada itu, Zakaria berkata program yang akan ditayangkan sebanyak 13 episod itu akan menjemput pembuat dasar, pemain industri dan pemegang taruh untuk memberi dan berkongsi pendapat mereka mengenai isu semasa dalam industri hartanah.

“Saya percaya program ini akan mendapat sambutan hebat dan kita (Bernama) berharap agar sambutan bukan sahaja daripada audiens tetapi mereka yang terlibat dalam industri (hartanah), dan kita berharap program sebegini akan jadi satu program ‘niche’ atau khusus untuk BNC,” tambahnya.

‘Bernama Property Hot Seat Presented By Sunsuria’ adalah sebuah program terbitan BNC dalam bahasa Inggeris yang akan disiarkan setiap Khamis bermula 21 Feb depan pada pukul 8.30 malam melalui saluran 502 (Astro), 631 (Unifi TV) dan 121 (MYTV).

— BERNAMA



[ad_2]