BINGKASAN BIDAS JONISTON

KOTA KINABALU: UPKO menyatakan rasa kesal dengan pemimpin pembangkang di Sabah yang kelihatan begitu cenderung menangguk di air yang keruh.

“Wabak virus corona, Covid-19 satu pandemik. Lebih empat juta orang kini positif, dan hampir 300 ribu kehilangan nyawa di seluruh dunia. Ia sangat serius. Justeru, mengambil kesempatan dalam saat-saat genting begini, untuk publisiti murahan, sangat tidak kena pada tempatnya.

“Yang menjadi keutamaan ialah menyelamatkan nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah. Ekonomi memang pun sudah merundum, tapi itu boleh kita bangunkan kembali. Kita jaga kita, kita sapot kita, kita duduk dirumah dan sama-sama perangi pandemik ini. Para pemimpin pembangkang tidak wajar menangguk di air yang keruh kerana biasanya berbuat demikian bagai menepuk air di dulang,” kata Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan.

Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan

Beliau berkata, hampir seluruh dunia terkial-kial dengan respon mereka dan walaupun pelbagai langkah sudah diambil, nyatanya, secara keseluruhan kes-kes positif semakin meningkat saban hari.

“Sabah mengambil pendekatan selaras dengan keadaan setempat. Nyatanya, tindakan itu menampakkan kesan yang baik. Saya tahu para pemain industri pembuatan, contohnya, menyambut baik langkah-langkah yang diguna-pakai oleh Kerajaan Sabah,” kata beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau,

Bingkasan berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai kenyataan Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah, yang memperlekehkan keputusan Sabah yang pada awalnya tidak mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa 4 Mei lalu.

Joniston dikatakan membidas Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Shafie Apdal susulan “pusingan U mengejut” mengenai pelaksanaan fasa ke-5 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah yang kononnya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Joniston, Wakil Rakyat Kiulu, juga kelihatan menyokong beberapa pendapat pengamal undang-undang bahawa Sabah salah dan boleh disaman kerana engkar PKPB yang diumumkan oleh Perdana Menteri

Bingkasan mempersilakan Joniston dengan segala kepakaran beliau untuk membuat satu lagi kenyataan akhbar membidas juga lapan lagi negeri yang juga enggan melaksanakan PKPB.

Sejurus selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB pada 1 Mei, sembilan negeri secara terbuka menyatakan keengganan melaksanakannya, antara lain kerana keadaan setempat wajar diambil kira dan prosedur operasi standard atau Standard Operating Procedure (SOP) diwujudkan sebelum arahan terbaru dapat diselaraskan.

Selain Sabah, negeri lain itu ialah Pahang, Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak.

Sama seperti Sabah, kebanyakan negeri itu telah mengeluarkan SOP berlandaskan syor Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan masing-masing, sekaligus melaksanakan secara berperingkat PKPB.

Untuk rekod, PKP fasa ke-empat akan berakhir pada 12 Mei, namun pada dasarnya, seluruh negara sudah pun berada dalam PKPB fasa ke-lima, yang bermakna PKB masih berkuatkuasa namun kini di fasa ke-lima kerana sudah ada kelonggaran bersyarat bagi hampir semua sektor kehidupan./http://beritasabah.com