KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Albert Bingkasan, berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Sabah yang mewartakan lima buah kampung di Manggatal termasuk Kampung Kokol, baru-baru ini.
Katanya, perwartaan yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu pastinya memberi semangat kepada penduduk kampung yang terkenal dengan kawasan pelancongan tanah tinggi itu.
“Langkah perwartaan lima kampung ini termasuk Kampung Kokol satu berita yang sangat menggembirakan dan kini Kampung Kokol yang memang terkenal dengan pelancongan tidak lagi menjadi ‘setinggan’.
“Saya juga mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mewartakan beberapa lagi kampung di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Inanam dan Karambunai,” kata Bingkasan dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, semalam, Shafie mengumumkan pewartaan lima kampung berkenaan iaitu Kampung Kokol, Kampung Rampayan, Kampung Selamat, Kampung Bahagia dan Kampung Rakyat Baru.
“Ini adalah di antara kawasan yang kita usahakan untuk membolehkan penduduk kampung di situ, kawasan ini diwartakan sebagai satu penempatan dan di samping itu untuk membolehkan supaya bekalan kemudahan elektrik dan air jadi kita sambung.
“Kadang-kadang itu bila termaktub dalam peraturan-peraturan kampung masih dalam keadaan tidak diwartakan bukan mudah agensi-agensi kerajaan seperti bekalan elektrik, jabatan air untuk menyambung kerana mereka beranggapan ini merupakan penempatan haram,” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan