Boleh beza pendapat tapi utamakan negara, Zahid maafkan pengkritik

PETALING JAYA: Boleh berbeza pendapat namun utamakan negara, begitu kata Presiden Umno, Zahid Hamidi kepada seorang pengkritik, selepas laluan kepada pembentukan kerajaan perpaduan terbuka dengan terlantiknya perdana menteri baharu hari ini.

Zahid berkata demikian selepas memaafkan seorang pengguna Facebook, yang mengakui pernah menggunakan gelaran tidak elok terhadap beliau.

“Kita boleh berbeza pendapat namun utamakan negara terlebih dahulu dalam apa jua kita lakukan,” kata Zahid di Facebook beliau, yang selain komen penghargaan turut mengandungi sindiran.

“Yang banyak komen dalam ni marah-marah tu penyokong Perikatan Nasional. Jangan dilayan,” kata pengguna itu.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Phoebe Liew Jia Pui, mengucapkan terima kasih dan berharap semua kaum boleh bersatu dan bekerjasama untuk memajukan negara.

“Itu perjuangan BN dari dahulu hingga sekarang,” jawab Zahid.

Istana Negara hari ini memperkenan Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri baharu, menyusuli keputusan Umno menyokong Barisan Nasional mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang tidak diterajui Perikatan Nasional.