Buku ‘agenda Kristian’, cari persamaan bukan perbezaan, kata mufti

Mufti Pulau Pinang menggesa semua penganut Islam untuk mencari titik persamaan berbanding fokus kepada perbezaan, susulan penerbitan buku “Pendedahan Agenda Kristian” oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak berkuasa agama perlu berhati-hati apabila menerbitkan bahan seperti itu, terutama sekiranya ia berkenaan agama lain.

Beliau berkata, dalam masyarakat berbilang kaum, langkah berhati-hati perlu diambil bagi memastikan tiada salah faham timbul akibat kenyataan yang menyinggung.

“Kita bimbang penulisan sedemikian akan mempengaruhi hubungan rapat antara penganut agama yang berbeza di negara kita,” kata beliau kepada FMT.

“Jika ada isu atau kekeliruan timbul, kita boleh sahaja duduk sama-sama dan berbincang untuk menyelesaikannya, seperti yang selalu kita buat sebelum ini.

“Kenapa kita tidak mencari dan menulis mengenai persamaan, berbanding fokus kepada perbezaan?” soal beliau.

Berkenaan isu penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah”, Wan Salim berkata, beliau berminat untuk bertemu dengan biskop Pulau Pinang untuk berbincang dan menyuarakan kebimbangan umat Islam mengenai perkara itu.

Kata beliau, rundingan selalunya berhasil, seperti yang biasa dilakukannya dengan pemimpin agama lain.

“Isu Kalimah Allah menimbulkan polemik antara penganut Islam dan Kristian. Saya mahu bertemu dengan biskop bagi mengurangkan salah faham dan menyelesaikan isu-isu lain.

“Saya harap negeri-negeri lain juga dapat menggunakan kaedah ini (rundingan). Mari kita sama-sama duduk dan mencari muafakat,” kata beliau.

Buku berjudul “Pendedahan Agenda Kristian” adalah penerbitan percuma MAIS yang juga boleh dimuat turun daripada laman webnya.

Ia pertama kali diterbitkan pada 2014, tetapi salinan berformat PDF telah dikongsi di aplikasi WhatsApp.

Buku yang mengandungi 120 halaman itu menyatakan sementara “orang Kristian bukan musuh,” orang Islam “terganggu dengan mubaligh Kristian” yang cuba memurtadkan orang Islam.

Terbahagi kepada lima bab, buku ini menyenaraikan “peribadi sebenar Kristian”, “undang-undang berkenaan gerakan mubaligh”, “realiti semasa agenda Kristian” dan “penyelesaian bagi menentang agenda Kristian”.

Buku itu juga menyeru agar undang-undang diperketatkan bagi mereka yang berusaha memurtadkan orang Islam, sama ada dengan sengaja atau sebaliknya.

FMT telah menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengesahkan kandungan buku tersebut, namun jurucakapnya meminta masa untuk memberi komen.

Sementara itu, exco agama Islam, pengguna dan industri halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Muhgni berkata, beliau juga masih menunggu kenyataan rasmi daripada JAIS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *