BUMBUNG RUMAH DI KAMPUNG DESA PERMAI DITERBANGKAN ANGIN KUAT SEMASA RIBUT

Bumbung sebuah rumah di Kampung Desa Permai yang diterbangkan angin kuat semasa kejadian ribut semalam

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN : Bumbung sebanyak 21 buah rumah di Kampung Desa Permai, Batu Sapi mengalami kerosakan akibat ditiup angin kuat semasa ribut semalam.

Kejadian ribut berlaku lebih 10 minit pada jam 7.45 semalam dan menyebabkan sebahagian rumah yang terjejas tidak dapat didiami buat sementara waktu atas faktor keselamatan dan barangan dalam rumah juga rosak terkena air hujan.

Ada antara penduduk yang rumah mereka terjejas kini menumpang di rumah keluarga dan jiran sementara menunggu rumah mereka dibaiki.

Difahamkan kejadian ribut semalam merupakan kali pertama yang berlaku sehingga menjejaskan rumah penduduk di kampung tersebut yang terletak lebih kurang 300 meter dari kawasan pantai.

Sementara itu, pihak Angkatan Pertahanan Awam Daerah Sandakan sudah mengeluarkan amaran ribut petir pada hari yang sama sebelum kejadian.