TUARAN: Bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing kembali semula ke pangkuan parti itu setelah sekian lama berada di luar parti.
“Kepulangan” beliau ke “rumah” UPKO turut disertai lebih kurang 100 bekas ahli parti dari Keningau, Tambunan, Tamparuli, Kiulu, Kota Belud dan Kuala Penyu.
Majlis kemasukan semula dalam parti itu dibuat pada Majlis Pisompuruan Bersama Pimpinan UPKO, di Tuaran, hari ini.
Bumburing berkata beliau membuat keputusan itu selepas melihat perjuangan UPKO mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah serta usaha yang dibuat oleh Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick sejak mengambil alih kepimpinan parti itu.
“Ewon dan UPKO terkehadapan dalam soal memperjuangkan hak 40 peratus Sabah seperti dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila beliau menjemput saya ke perbincangan meja bulat mengenai perkara ini, saya terpanggil untuk memberi sumbangan secara aktif dan menyokong kepimpinan beliau,” katanya.
Bumburing yang keluar daripada UPKO sekitar 2013 pernah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun yang sama.
Beliau bagaimanapun tewas di kerusi Parlimen Tuaran namun menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli.
Selain PKR, Bumburing juga pernah menerajui Parti Cinta Sabah (PCS).Sementara itu, Ewon menyambut baik “kepulangan” Bumburing dan ahli-ahli lain ke pangkuan UPKO setelah sekaian lama berada di luar parti.
“Dalam konvensyen tahun lepas, saya menyatakan jemputan terbuka untuk pengasas parti ini dan mantan ahli-ahli kembali semula kepada parti dan bersama-sama saya dalam meneruskan obor perjuangan. Saya berbangga dan sangat mengalu-alukan kebersamaan semula Datuk Bumburing dalam UPKO hari ini,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Presiden Ahli Majlis Penasihat UPKO Tan Sri Bernard Dompok, Setiausaha Agung UPKO Datuk Nelson Angang, Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Tan Sri Wences Angang dan Ahli Majlis Penasihat UPKO Datuk Christine Vanhouten.
More Stories
Miliki petrol tanpa lesen,dua lelaki didenda RM10,000 dan RM6,000 seorang lagi dipenjara
Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di EEZ Malaysia
Tiga individu diserang memerang ketika berjoging