BUNG DAKWA PARTI LAWAN TURUNKAN POSTER

MEMBAKUT: Pengarah Gerakan Barisan Nasional (BN) PRK Kimanis Datuk Bung Moktar Radin mengecam perbuatan segelintir pemimpin dan jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) yang melakukan provokasi melampau.

Dakwa beliau, ia termasuk tindakan menurunkan poster dan bendera BN meskipun diletakkan di kawasan lapang (Free Zone)

“Perbuatan mereka bukan sahaja menunjukkan ketidakmatangan berpolitik namun turut menyalahi peraturan yang telah ditetapkan oleh SPR, ” katanya pada ceramah BN di PDM Pekan, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan segelintir pemimpin dan jentera Warisan yang menurunkan bendera dan poster BN di kawasan lapang di PDM Gadong Kimanis.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas ahli parlimen Kimanis Datuk Anifah Aman, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Abdul Azeez  Abdul Rahim.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, laporan kepada pihak polis dan SPR akan dibuat dalam masa terdekat ini bagi membendung perkara seumpama itu berleluasa dalam tempoh berkempen PRK Kimanis.