Saya sepenuhnya bersetuju dengan idea bahawa agama dan politik harus sama sekali tidak dicampur-adukkan di Malaysia. Amat menyedihkan bahawa sudah menjadi satu hakikat bahawa ada ahli politik di kalangan parti pemerintah hari ini menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka. Kita hanya perlu melihat kepada laungan UMNO menjelang pilihan raya umum yang akan datang sebagai buktinya. Saya membuat kenyataan ini atas prinsip kebebasan agama di negara ini dan sebagai seorang umat Kristian. Saya terpanggil untuk merespon kepada cadangan Dewan Bahasa Dan Pustaka bagi mereka untuk membuat terjemahan Alkitab ke dalam Bahasa Melayu.
Alkitab, atau Bible sama sekali tidak dapat diterjemahkan dengan sesuai dan tepat dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu semata-mata berdasarkan kepada satu pendekatan linguistik kerana istilah dan ungkapan di dalam Alkitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru mengandungi makna keagamaan yang mendalam disamping perbezaan latar belakang kebudayaan dan sejarah pelbagai penulis Alkitab asal yang merangkumi tempoh penulisan selama lebih 1,500 tahun dan ianya hanya boleh difahami melalui pendalalam pemahaman terhadap Yudaisme dan Kekristiianan. Oleh yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sama sekali tidak boleh menjadi satu badan yang bertauliah untuk malah mencuba menterjemahkan Alkitab ke dalam Bahasa Melayu. Saya mempertahankan pendirian saya bahawa sebarang cadangan oleh DBP untuk cuba menterjemahkan Alkitab ke dalam Bahasa Melayu adalah satu cubaan untuk mencampuri agama Kristian. Dalam satu kes yang berlainan, tidak berapa lama sebelum ini, DBP telah didenda oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah kerana satu artikel yang mereka terbitkan mengenai adat istiadat pengkebumian oleh suku kaum Murut di Sabah yang tidak betul.
Untuk lebih jelas lagi, pertama sekali, pihak DBP harus memahami perkembangan sejarah pada Alkitab dan keadaan penggunaannya hari ini. Sudah terdapat dua versi Alkitab Bahasa Melayu yang secara umum diterima dan digunakan di Malaysia hari ini. Kedua-dua versi ini masing-masing diterbitkan oleh Malaysian Bible Society dan Lembaga Alkitab Indonesia. Oleh yang demikian, umat Kristian tidak perlu lagi satu versi terjemahan yang baharu. Jika objektif DBP itu ialah untuk menghasilkan Alkitab Bahasa Melayu yang seragam maka DBP tidak akan dapat mencapai objektifnya.
Kedua, sebarang cubaan untuk menterjemahkan Alkitab harus mematuhi teks asal pada Alkitab yang ditulis dalam Bahasa Ibrani dan Yunani purba yang kedua-duanya tidak lagi digunakan dalam pertuturan harian pada hari ini.
Kebanyakan terjemahan atau versi Alkitab dalam Bahasa Inggeris, sama ada yang diterbitkan oleh Gereja Katolik atau secara bersama oleh Gereja Protestan lain, ianya dilakukan oleh usaha kolektif ratusan ulama dan ahli teologi Alkitab yang telah menghabiskan banyak waktu untuk mempelajari dan memahami bahasa aslinya yang digunakan oleh para penulis Alkitab yang asal. Oleh itu, versi Alkitab dalam bahasa Melayu mestilah satu terjemahan yang tepat dan satu-satunya yang akan mempunyai kejelasan dan kualiti sastera dan terbukti menjadi bahan pembacaan, pengajaran, pengkhotbahan dan penghafalan dan diluluskan untuk kegunaan liturgi oleh umat Kristian. Para penterjemah mestilah bersatu dan berkomitmen terhadap autoriti dan kesempurnaan Alkitab sebagai Firman Tuhan. Sebarang terjemahan mestilah mematuhi dengan penuh kesetiaan kepada pandangan para penulis asal Alkitab yang menulisnya dibawah ilham Ilahi. Sebarang usaha penterjemahan yang perlu dilakukan yang kekurangan parameter ini adalah berupa satu penghinaan terhadap kepercayaan Kristian
Perkara penting lain yang perlu diingatkan ialah sebarang usaha untuk menterjemahkan Alkitab ialah melihat kepada kepentingan pada perincian nahu di dalam teks linguistik yang asal iaitu Bahasa Ibrani dan Yunani. Terjemahan kata demi kata tidak boleh digunakan sebagai pola pemikiran yang berkembang dari satu bahasa ke Bahasa lain pada sepajang zaman. Terjemahan tepat pada pola pemikiran para penulis Alkitab yang asal sebagai dituliskan dalam Bahasa kontemporari mereka mengundang penggunaan ayat yang menggambarkan maksudnya yang asal.
Kadang kala makna asal pada istilah tertentu dari Bahasa Ibrani dan Yunani tidak boleh ditentukan dengan satu kepastian sepenuhnya kerana konteks budaya dan sejarah di mana istilah itu digunakan sudah berlalu dan tidak dapat dikembalikan. Ciri-ciri dan terminologi tertentu dalam bahasa asal Alkitab seperti jam sehari, ukuran berat, jarak dan luas kawasan harus diberikan setaranya pada zaman ini. Juga, disamping dituliskan dibawah ilham Ilahi, 66 buku di dalam Alkitab telah dituliskan dibawah pengaruh amalan dan norma keagamaan yang mendalam pada zaman itu yang perlu difahami dengan mendalam di dalam kontkes kita hari ini agar dapat memberikan terjemahan yang setepat mungkin. Oleh itu, tugas dan peranan para penterjemah ialah menyampaikan makna pada mesej di dalam kata-katanya yang asal dalam cara yang mudah difahami oleh para pembaca Alkitab zaman ini.
Isu yang telah mengundang perdebatan sengit dalam menterjemahkan Alkitab ke dalam Bahasa Melayu adalah penggunaan beberapa istilah Arab tertentu yang telah dimasukkan ke dalam kesusasteraan bahasa Melayu di mana beberapa kumpulan Muslim mempertahankan bahawa istilah Arab ini tidak sesuai digunakan oleh mereka yang bukan Bergama Islam.
Apa yang mendahului di dalam semua isu ini ialah kontroversi berhubung penggunaan istilah Allah. Jika kita mengeluarkan istilah ini dari Alkitab makai a akan menyebabkan Alkitab itu tidak lengkap kerana pada umumnya istilah Inggeris “Lord” diterjemahkan sebagai “Tuhan,” dan istilah “God” diterjemahkan sebagai “Allah.” Salah satu ungkapan paling penting di dalam Alkitab Perjanjian Lama terdapat di dalam Ulangan 6 ayat 4 iaitu dalam Bahasa Ibraninya ialah “Adonai Eloheinu” yang diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris sebagai “The Lord is our God” dan ia hanya sesuai diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai “Tuhan itu Allah kita.”
Saya percaya bahawa masyarakat umat Kristian di Malaysia pada umumnya selesa dengan Alkitab Bahasa Melayu yang ada sekarang dan dengan demikian tidak ada keperluan untuk satu lagi Alkitab versi Bahasa Melayu yang baharu. Jika sekiranya umat Kristian merasa perlunya ada terjemahan baharu pada masa akan datang maka tindakan paling bijak ialah membiarkan mereka (umat Kristian) untuk melakukannya. Masyarakat Malaysia yang pelbagai budaya dan pelbagai agama telah sekian lama hidup dalam aman damai dan harmoni. Umat Kristian hanya akan menyuarakan rasa tidak senang apabila berlaku usaha pencerobohan ke dalam amalan agama mereka itu nyata.
More Stories
Arkitek Ekonomi Borneo: Merentas Garis Masa Transformasi UMS (2022–2026)
Suntikan Fiskal Perkasa Latihan Industri
Nuansa Percaturan Politik, Mencatur Politik, dan Politik Catur