CIS kini boleh kasi dobol pengeluaran simen

Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) mampu menggandakan penyimpanan dan pengedaran simen selepas silo penyimpanan simen yang menggunakan teknologi baru dari Jerman digunapakai.

Pengerusi CIS Datuk Japlin Akim berkata, silo penyimpanan simen yang berkapasiti 15,000 tan itu mula dibina sejak September 2019.

“Masa yang diambil untuk silo ini siap sepenuhnya adalah kira-kira 18 bulan.

“Dan sejak mula beroperasi pada 1 April 2021, kilang kita dapat gandakan penyimpanan dan pengedaran simen kita, daripada 35,000 tan kepada 70,000 tan sebulan,” katanya semasa hadir dalam sesi lawatan ke silo penyimpanan simen baharu di Cement Industries Teluk Sepanggar, semalam.

Menurutnya, perkembangan itu adalah satu peningkatan prestasi yang sangat baik dan mampu menjamin bekalan simen bagi sektor pembinaan di Sabah dan Labuan kekal mencukupi.

Japlin turut melawat tapak simpanan batu kapur dan proses material komponen bahan mentah untuk membuat simen disimpan.

Dalam lawatan itu, Japlin turut memberitahu bahawa permintaan dan keperluan simen dijangka mampu dipenuhi.

“Kita jangkakan selepas ini, dengan siapnya pembinaan silo ini, bekalan simen kita cukup dan semua permintaan dapat kita tampung, selain daripada kita tambah rancakkan lagi industri dalam masa terdekat,” katanya. – Utusan Borneo
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *