KOTA KINABALU: Selepas mencatat angka terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kelmarin, Malaysia kembali mencatat kes harian pada tiga angka iaitu sebanyak 103 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 7,732.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata peningkatan mendadak itu membabitkan jangkitan terhadap warga asing.
Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, tujuh merupakan kes import.
“Daripada 96 kes jangkitan tempatan pula, 84 kes membabitkan warga asing, yang terdiri daripada 53 kes dari kluster Pedas, iaitu membabitkan syarikat kilang memproses ayam di Negeri Sembilan.
“Sebanyak 24 kes dikesan melibatkan kluster syarikat pembersihan,” katanya sambil menambah hanya 12 kes membabitkan warganegara Malaysia.
Sementara itu, setakat tengah hari tadi, 66 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,235, atau 80.64 peratus daripada keseluruhan kes.
Mengambil kira kes yang sudah sembuh, jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 1,382 kes.
Tiada kematian terbaharu dilaporkan, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes.-http://beritasabah.com
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan