COVID-19 : 119 LAGI SEMBUH, 110 KES BARU

KOTA KINABALU: Seramai 119 lagi pesakit jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh ialah seramai 2,766 orang.

Jumlah itu juga menjadikan kadar pesakit yang sembuh kini sebanyak 53.4 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian beliau di ibu negara, hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 110 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan sebanyak 5,182 kes.

Sekiranya mengambil kira pesakit yang sudah pulih, kes aktif yang masih menerima rawatan ketika ini ialah sebanyak 2,332 kes.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 56 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 29 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, satu lagi kes kematian dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 84 kes.

Kes kematian ke-84 membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

Pesakit itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April dan disahkan meninggal dunia pada 15 April jam 12.55 tengah hari./BERITA SABAH