COVID-19: 215 PESAKIT SEMBUH DI SABAH

KOTA KINABALU: Seramai 215 pesakit COVID-19 di Sabah sembuh dan discaj dari hospital semalam menjadikan jumlah kumulatif sembuh di negeri itu 34,253 orang, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun. 

Beliau yang juga jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri berkata 1,535 pesakit pula masih menerima rawatan iaitu masing-masing 599 orang di hospital dan 936 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC).

“Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU (unit rawatan rapi) ialah 56 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Mengenai 230 kes positif COVID-19 yang direkodkan Sabah hari ini, Masidi berkata 136 kes dikesan melalui saringan kontak rapat, saringan bergejala (43 kes) saringan kluster (20 kes), saringan kendiri tujuh kes dan 24 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, Masidi berkata peratus penggunaan unit katil di hospital rawatan COVID-19 dan di PKRC semalam hanya 24 peratus daripada jumlah 6,392 unit di hospital rawatan COVID-19 dan di PKRC di Sabah.