COVID-19 : 277 KES BAHARU DI MALAYSIA, 270 DARI DEPOT TAHANAN IMIGRESEN

KOTA KINABALU: Sebanyak 270 daripada 277 kes positif Covid-19 yang dicatatkan di Malaysia, hari ini, membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, memaklumkan kes daripada DTI Bukit Jalil itu juga merupakan sampel ulangan bagi Orang Kena Tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan itu.

Selepas sekian lama jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 kekal pada dua angka, hari ini jumlah itu kembali melonjak kepada tiga angka dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan adalah sebanyak 8,247.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah hanya empat kes.

“Kes penularan di kalangan bukan warganegara adalah 271 kes (termasuk 270 dari DTI Bukit Jalil), manakala terdapat dua (2) kes import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya sambil menambah satu kes lagi bukan warganegara adalah saringan tapak pembinaan di Pudu.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, 28 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,559 orang atau 79.5 peratus.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah sebanyak 1,573 kes.

Beliau juga berkata, sehingga kini, sebanyak enam kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.-http://beritasabah.com