KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatatkan 50 kes positif Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 5,532 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata seramai 103 lagi pesakit telah pulih dan discaj daripada hospital, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kini sebanyak 3,452.
Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini setakat ini adalah sebanyak 1,987 kes.
“Sehingga kini, seramai 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham memaklumkan satu lagi kes kematian akibat wabak itu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah korban di Malaysia setakat ini sebanyak 93.
Katanya, kematian terbaru itu membabitkan seorang wanita warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.
“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 9.15 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ