COVID-19 : 57 KES BAHARU DI MALAYSIA, DUA LAGI KEMATIAN

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat pertambahan 57 kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini mencecah 6,002.

Bagaimanapun, ia merupakan hari ke-16 berturut-turut negara ini mencatat kes harian di bawah paras 100.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media beliau di ibu negara, hari ini, turut memaklumkan daripada jumlah kes baharu berkenaan, 25 adalah kes import, manakala 32 kes membabitkan penularan tempatan.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia ketika ini juga, bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,729 kes.

Sementara itu, beliau berkata seramai 84 lagi pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 4,171, atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sebanyak 36 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang empat berbanding semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 14 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, juga kurang empat berbanding semalam,” katanya.

Dalam perkembangan sama dua lagi pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kini seramai 102 orang, iaitu 1.7 peratus daripada jumlah kes.

Berikut adalah dua pesakit yang meninggal dunia:

Pesakit 4,657 (kematian ke-101)

Lelaki warga Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Bali (iaitu kes ke-4,476).

Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.14 petang, 29 April.

Pesakit 5,282 (kematian ke-102)

Lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari, hari ini./beritasabah.com