COVID-19 HARI INI MASIH “KEPALA 4” DENGAN 17 KEMATIAN

Kementerian Kesihatan melaporkan 4,571 kes baru Covid-19 dengan 17 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 4,092 pesakit pulih, menjadikan 181,886 kes sembuh daripada keseluruhan 231,483 kes Covid-19 yang direkodkan setakat ini.

Terdapat 48,771 kes aktif dengan 308 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 135 orang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,

Daripada jumlah kes baru itu, tiga ialah kes import dan baki 4,568 kes penularan tempatan yang membabitkan 3,177 warganegara dan 1,391 warga asing.

Selangor mencatatkan jumlah kes baru tertinggi sebanyak 2,056 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,358 kes (66.1%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia diikuti Johor (664), Kuala Lumpur (481), Sarawak (270), Melaka (238), Sabah (175), Perak (163), Penang (157), Negeri Sembilan (100), Pahang (78), Terengganu (69), Kedah (51), Kelantan (48), Putrajaya (20) dan Labuan (1).

Perlis satu-satunya negeri yang tidak melaporkan sebarang kes baru.

“Sebanyak 237 kes (5.2%) yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Tembok Taiping (79), Penjara Jalan Sungai Jelok (65), Tembok Renggam (44), Tembok Mempaga (38), Tembok Sungai Udang (3), Penjara Jalan Harapan (3), Tembok Bukit Besi (2), Tembok Pengkalan Chepa (1), Matambai (1) dan Penjara Kepayan (1).”

Hisham berkata, angka korban kini meningkat kepada 826 kematian, susulan 17 kematian terbaru membabitkan 15 warganegara dan dua warga asing, dengan yang termuda ialah bayi berusia empat bulan yang menghidap penyakit jantung dan paling tua berusia 82 tahun.

Tiga lagi individu yang meninggal dunia tidak mempunyai sebarang latar belakang penyakit dan tiga orang hanya dikesan positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.