COVID-19 : JUMLAH KES HARIAN TERENDAH SELEPAS SEBULAN

KOTA KINABALU: Malaysia, hari ini, mencatat 85 kes Covid-19 baru, iaitu jumlah harian terendah sejak 14 Mac lalu.

Pada tarikh berkenaan, jumlah keseluruhan kes di Malaysia adalah sebanyak 35 dan sejak itu, angka mencecah lebih 100 kes pada setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, sebentar tadi, berkata, pertambahan 85 kes berkenaan menjadikan keseluruhan kini sebanyak 5,072 kes.

Beliau turut memaklumkan satu lagi kematian dicatatkan, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat Covid-19 di negara ini, setakat ini, seramai 83 orang.

Sementara itu, seramai 169 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kini 2,647 kes.

Angka berkenaan juga menjadikan kadar kes sembuh kini melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan kes iaitu sebanyak 52.2 peratus./BERITA SABAH