KOTA KINABALU: Jumlah pesakit jangkitan Covid-19 yang sembuh di Malaysia kini semakin menghampiri separuh daripada jumlah keseluruhan kes apabila peratusan kes yang pulih kini sebanyak 42 peratus.
Pada hari ini, sejumlah 222 lagi pesakit wabak itu sembuh berbanding 118 kes baru dan ia kali ketiga berturut-turut kes sembuh melepasi jumlah kes baru.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini berkat, jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh kini adalah seramai 1,830 orang, atau 42 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,346 kes.
Beliau juga yakin jika jumlah pesakit sembuh terus melebihi jumlah kes baru dalam dua minggu ini, penularan Covid-19 dapat dibendung.
Bagaimanapun, katanya, untuk mencapai matlamat itu, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan perintah kawalan pergerakan untuk dua minggu lagi, sehingga 28 April.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya memaklumkan tiga lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia termasuk satu kes di Sabah, pada hari ini.
Ia menjadikan jumlah kematian berkaitan wabak itu kepada 70 kes.
Berikut adalah tiga pesakit yang meninggal dunia:
Pesakit 694 (kematian ke-68)
Lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Seri Petaling (pesakit 159).
Beliau telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.21 pagi hari ini.
Pesakit 4,229 (kematian ke-69)
Lelaki warga Malaysia berusia 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.
Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam empat pagi hari ini.
Pesakit 4,230 (kematian ke-70)
Perempuan warga Malaysia berusia 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (pesakit 1,684)
Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.38 pagi hari ini./BERITA SABAH

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad