Covid-19: Kematian tertinggi 135 kes dan 8,868 jangkitan baru ini hari

Kementerian Kesihatan melaporkan 8,868 kes baharu Covid-19 dan rekod baharu 135 kematian berbanding 126 yang dicatatkan 2 Jun lalu.

Seramai 5,802 pesakit pulih, menjadikan keseluruhan 725,480 daripada 808,658 pesakit Covid-19 yang sembuh, manakala angka korban pula meningkat kepada 5,903 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat 77,275 kes aktif di seluruh negara, dengan 445 daripada 952 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, jumlah jangkitan harian berdasarkan negeri turut mencatatkan rekod baharu di Selangor dengan 4,152 kes.

Diikuti Kuala Lumpur 1,133 kes, Negeri Sembilan (897), Perak (543), Kedah (360), Johor (336), Sarawak (281), Sabah (279), Pulau Pinang (237), Melaka (183), Pahang (152), Kelantan (135), Terengganu (68), Labuan (64) dan Putrajaya (47).

Perlis hanya mencatatkan satu kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 10 ialah kes import dan baki 8,858 penularan tempatan.

Hisham berkata, sebanyak 135 kematian hari ini membabitkan 63 kes di Selangor, 24 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sembilan di Johor, masing-masing lapan di Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing empat di Sarawak dan Kelantan, masing-masing tiga di Sabah, Pahang, dan Perak, dua di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, serta masing-masing satu kes di Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kes kematian itu membabitkan 16 bukan warganegara dan 119 warganegara.

“Korban termuda berusia 29 tahun manakala paling tua berusia 90 tahun dengan majoritinya mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, jantung, darah tinggi, buah pinggang dan strok,” katanya.