COVID-19: KERAJAAN NAFI KOS VAKSIN LEBIH TINGGI DARIPADA BELGIUM

Kerajaan hari ini menafikan bahawa kos vaksin COVID-19 untuk seorang rakyat Malaysia lebih mahal daripada yang ditampung Belgium.

Mengulas perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan Belgium menempah 33.5 juta dos vaksin untuk diberikan kepada 16.7 juta rakyatnya dengan harga RM1.38 bilion.

“Belgium akan memberikan dua dos vaksin kepada setiap rakyatnya dengan anggaran harga RM82.40 (seorang),” katanya sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 di Dewan Negara di Kuala Lumpur.

Kerajaan Malaysia pula katanya membayar RM2.05 bilion bagi perolehan 26.5 juta vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada 26.5 juta rakyat negara ini.

“Harga bagi seorang rakyat Malaysia ialah RM77.35. Ini menunjukkan harga kita lebih rendah daripada Belgium. Saya harap penjelasan ini dapat mengelakkan kekeliruan yang timbul,” katanya.

Sebelum ini tular dakwaan Malaysia membayar harga vaksin COVID-19 kira-kira 20 kali ganda lebih tinggi berbanding yang dibayar kerajaan Belgium.

Mengenai dakwaan terdapat penglibatan ‘orang tengah’ dalam pemerolehan vaksin, Mohd Shahar berkata bekalan  tersebut diperoleh terus daripada syarikat farmaseutikal.

Katanya pemerolehan juga dilakukan menerusi tiga lagi kaedah, iaitu penyertaan dalam ‘Covax facility’ dan ‘Covax optional purchase agreement’,  bilateral kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan tender terbuka dalam jangka panjang.

“Saya yakin Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin yang dipengerusikan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah seliaan Kementerian Kewangan akan memastikan semua perkara ini diutamakan agar rancangan penyediaan vaksin berada pada tahap optimum,” katanya.