COVID-19 : KES HARIAN TERENDAH SEJAK PKP DILAKSANAKAN

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat angka kes Covid-19 terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu iaitu 69 kes.

Di samping itu juga, jumlah pesakit yang sembuh pada hari ini juga ialah seramai 201, iaitu hampir tiga kali ganda dari kes yang direkodkan, hari ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media beliau, di ibu negara, sebentar tadi.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 2,967 atau 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes iaitu sebanyak 5,251.

Jumlah pesakit yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula seramai 51 orang dengan 26 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, dua lagi kematian akibat wabak itu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini sebanyak 86./BERITA SABAH