COVID-19 : MALAYSIA CATAT 281 KES SEMBUH, TUJUH KES BAHARU

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat tujuh lagi kes Covid-19 baharu, menjadiakan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 8,336.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya, hari ini, turut memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, enam adalah kes import manakala satu lagi adalah kes penularan tempatan.

Katanya, penularan tempatan itu membabitkan seorang warga asing iaitu kes saringan semasa mula berkerja.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham juga memberitahu seramai 281 lagi pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini.

“Ini merupakan jumlah discaj tertinggi yang pernah dicatat setakat ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,975 kes atau 83.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Ini bermakna, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,244 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, hanya satu kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 117 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.-http://beritasabah.com