COVID-19: Penurunan sebanyak 861 kes baharu di Sabah semalam

KOTA KINABALU, 28 Feb — Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) negeri Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 861 kes baharu iaitu 2,874 kes dan empat kes kematian, setakat semalam.

Berdasarkan infografik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), daerah Kota Kinabalu mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 775 kes, diikuti oleh Tuaran (324), Penampang (272), dan Putatan (210).

Sementara itu, sejumlah 499 buah premis telah diperiksa dan satu diarah tutup dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan pada Sabtu.

Berikutan dari itu, 16 keping kompaun telah dikeluarkan di lima daerah iaitu Tawau (6), Kota Kinabalu (4), Semporna (3), Sandakan (2), dan Penampang (1).

Kesalahan yang dikompaun ialah melebihi masa beroperasi, tidak memakai pelitup muka, gagal menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatat nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis, dan pemilik premis gagal memastikan individu menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.