COVID-19: Sabah merekodkan 172 kes baharu hari ini

KOTA KINABALU, 8 April – Sabah mencatatkan angka jangkitan baharu sebanyak 172 kes iaitu menurun sebanyak 4 kes berbanding semalam (176).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Kota Kinabalu melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 57 kes, diikuti oleh Penampang dan Tuaran (12) manakala Papar (10).

Sementara itu, peratusan jumlah kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik juga kekal tinggi iaitu 68 peratus (%) jumlah keseluruhan kes hari ini.

Bagaimanapun, tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 164 daripada 172 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lima (5) kes dalam Kategori 3, dua (2) kes dalam Kategori 4 dan satu (1) kes dalam Kategori 5.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara serius bagi mengekang penularan virus dalam komuniti.