COVID-19 : SATU KES DI SABAH HARI INI, SEORANG PESAKIT SEMBUH DI TUARAN

KOTA KINABALU: Hanya satu kes Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 210 kes.

KOTA KINABALU: Hanya satu kes Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 210 kes.

Pertambahan itu membabitkan Beaufort dengan jumlah keseluruhan kes di daerah berkenaan setakat ini ialah sebanyak lapan kes.

Statistik terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Tawau masih kekal sebagai kawasan paling banyak merekodkan kes Covid-19 dengan jumlah sebanyak 63 kes.

Lahad Datu pula kekal daerah kedua tertinggi dengan jumlah 35 kes disusuli Kota Kinabalu yang mencatat jumlah 29 kes.

Dua daerah berjiranan, Sandakan dan Kinabatangan masing-masing menjadi daerah keempat dan kelima tertinggi mempunyai kes Covid-19 apabila masing-masing merekodkan 17 dan 14 kes.

Sementara itu Tuaran yang menjadi daerah keenam tertinggi dengan jumlah 12 kes merekodkan seorang pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini.

Lain-lain daerah yang kekal dengan jumlah kes sebelum ini ialah Kunak dan Putatan yang masing-masing merekodkan tujuh kes, Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (2), dan Ranau (2), Penampang (2), Semporna (2) dan Tambunan (1).

Kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini juga kekal satu kes iaitu di Tawau manakala jumlah pesakit yang telah sembuh setakat ini seramai 13 orang.

Sementara itu, Sabah kini menjadi negeri kelima tertinggi mencatat kes Covid-19 selepas Sarawak merekodkan 211 kes hari ini untuk menjadi negeri keempat tertinggi.

Negeri tertinggi yang mencatat Covid-19 di Malaysia ketika ini juga kekal Selangor yang kini mencecah 800 kes, Kuala Lumpur (488) dan Johor (395)./BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *