Cuba selamatkan pelancong, berakhir dengan tragedi. Kejadian di Kudat

Seorang lelaki ditemukan lemas selepas cuba menyelamatkan seorang pelancong wanita yang hampir lemas dalam kejadian di Pantai Hisbiscus Villa Jalan Kampung Marang Parang di sini hari ini. 

Dipercayai mangsa yang dikenali sebagai Estilly Lieo Uainis, 19, menyedari pelancong asing terbabit cuba meminta tolong di kawasan tengah laut kira-kira jam 11.30 pagi.

Mangsa yang baharu bekerja di pusat pelancongan terbabit bertindak terjun ke laut dan cuba menyelamatkan pelancong wanita berkenaan, lapor Utusan Borneo.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang selepas hanyut dibawa arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 pagi.

“Sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Mengikut laporan awal, pelancong wanita yang dikatakan hampir lemas itu berjaya diselamatkan oleh rakan sekerja mangsa.

“Namun, mangsa pula dikatakan hilang hampir sejam sebelum ditemukan oleh rakan sekerja lain yang berusaha mencarinya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa diberikan rawatan kecemasan awal (CPR) oleh pasukan bomba namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.35 petang.