Cubaan seludup gagal, rokok bernilai lebih RM19,000 berjaya dirampas di Tawau

Cubaan menyeludup masuk rokok bernilai lebih RM19,000 gagal selepas aktiviti itu dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Belacan, Batu 5, di Tawau malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Ridzauddin Selamat berkata aktiviti itu berjaya dikesan kira-kira jam 8.53 malam menerusi Op Benteng.

“Anggota PPM yang menjalankan rondaan menggunakan bot samaran di Sungai Batu 5 mengesan beberapa lelaki di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, kesemua lelaki berkenaan bergegas meninggalkan kawasan tersebut sebaik menyedari kehadiran anggota PPM,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam menurut Utusan Borneo.

Katanya, pemeriksaan dilakukan di kawasan tersebut mendapati beberapa buah kotak yang dibalut dengan karung disyaki mengandungi barang salah telah ditinggalkan oleh suspek.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak tersebut pula berjaya menemukan sebanyak 18,600 batang rokok dan 1,260 bungkus tembakau dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Kesemua rokok dan tembakau yang dianggarkan bernilai RM19,065.60 itu dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau,”katanya.

Menurutnya, kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Ridzauddin berharap masyarakat persisir pantai dan maritim dapat menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka.

“Malumat boleh disalurkan melalui aplikasi whatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *