TAWAU: Usaha seorang juragan menyeludup 35 tong gas bersubsidi keluar ke negara jiran gagal selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Pelabuhan Tawau, di sini, semalam.
Suspek berusia 23 tahun ditahan PPM Tawau ketika menjalankan tugas rondaan di kawasan berkenaan kira-kira, jam 3.33 petang.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya yang menjalankan tugas di kawasan berkenaan mengesan sebuah bot laju yang sarat dengan muatan.
Katanya, anggota PPM terus menahan bot terbabit untuk menjalankan pemeriksaan dokumentasi ke atas juragan dan muatan yang dibawa.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan sebanyak 35 tong gas yang ditutup menggunakan kanvas dipercayai cuba di seludup keluar ke negara jiran.
“Juragan terbabit juga gagal menunjukkan dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) ke atas tong gas yang dibawa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek terbabit terus ditahan manakala bot bersama muatan yang dianggarkan bernilai RM39,250 itu dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
Nazri turut menasihatkan orang awam supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad