DAFTAR PEMILIH SPR MERAGUKAN, WUJUD NAMA-NAMA PEMILIH YANG TIDAK LENGKAP

Saya memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya dengan segera menjelaskan mengenai kewujudan nama-nama pengundi yang tidak lengkap dalam Daftar Pemilih semasa yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya.

UPKO terkejut dengan kewujudan nama-nama yang tidak penuh atau yang tidak lengkap. Kebanyakan nama pemilih tidak penuh ini didapati lahir pada pertengatahan tahun 1990-an. Ia merupakan tempoh isu pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah, yang menjadi perhatian satu negara, yang kemudian dikaitkan dengan Projek IC.

Baru-baru ini semakan kami menunjukkan bahawa terdapat banyak nama yang tidak lengkap. Bagi UPKO, keadaan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan kita tahu bahawa hampir kesemua rakyat Malaysia menggunakan nama penuh sama ada yang bersandarkan kepada “bin”, “binti”, anak kepada, anak lelaki atau anak perempuan. Jika tidak ada sandaran ini, setiap orang mempunyai nama penuh. Ia sudah menjadi amalan biasa sekian lama.

Oleh itu, kami terkejut dengan kewujudan nama-nama yang tidak lengkap dalam Daftar Pemilih SPR. Adakah ini impak pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik?

UPKO berharap SPR akan memberikan penjelasan sewajarnya bagi mengelakkan persepsi bahawa Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam PRU15 adalah Daftar Pemilih tidak bersih sepenuhnya sebagaimana diharapkan oleh pemegang taruh pilihan raya.

Memandangkan PRU15 akan berlangsung pada 19 November, wajar bagi SPR menyediakan satu Daftar Pemilih yang bersih, adil dan telus bagi setiap calon dan parti yang bertanding.

Selain isu peningkatan jumlah pengundi yang ramai, sebagaimana dilaporkan oleh media, kewujudan nama-nama yang tidak lengkap, yang menimbulkan pelbagai persoalan, persepsi dan kemusykilan ini, UPKO mahu pilihan raya dikendalikan dengan bebas, telus dan bersih termasuk kewajipan SPR menyediakan Daftar Pemilih yang bebas daripada pelbagai tanggapan dan persoalan.

UPKO mengharapkan penjelasan segera daripada SPR.