DERITA 20 TAHUN MASALAH ELEKTRIK TARIK PERHATIAN WAKIL RAKYAT PAS

Senator PAS Ustazah Asmak (kanan) dan rombongan ketika ketika melawat salah satu kampung di Sandakan Sabtu lalu. Kg Bakau

SANDAKAN: PAS melahirkan perasaan simpati apabila melihat penderitaan yang dialami oleh penduduk Batu Sapi yang masih belum menerima khidmat bekalan elektrik sempurna ke kampung mereka.

Malah, penderitaan yang ditanggung lebih 20 tahun itu menjadi perit apabila pengguna terpaksa membayar dengan kadar bayaran tidak releven mengikut bilangan barang elektrik dalam isi rumah.

Ia disuarakan oleh Ahli Dewan Negara (PAS), Ustazah Asmak Husin ketika mendengar taklimat dan membuat lawatan ke Kampung Bakau di sini iaitu salah satu kampung terlibat, Sabtu lalu bersama Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu.

Beliau difahamkan, sebelum ini bekalan elektrik di kawasan tersebut diuruskan oleh syarikat swasta yang telah tamat kontrak namun bakal digantikan oleh syarikat lain bukannya diuruskan secara terus oleh kerajaan negeri melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Beliau difahamkan lagi, sistem tersebut yang turut melibatkan Kampung Sundang dan Kampung Forest dalam Parlimen Sandakan bakal menggunakan sistem ‘top up’ atau ‘reload’ yang pasti membebankan.

Asmak berjanji untuk mengangkat isu ini ke Dewan Negara dan mencadangkan kepada penduduk agar membuat ‘advokasi’ di peringkat kepimpinan kampung hingga kepada wakil rakyat negeri bagi menggesa masalah ini berlanjutan.

Sementara itu, Norsah melihat perkara ini merupakan pengkhianatan kepada penduduk Kampung Bakau dan Kampung Sundang, sedangkan kampung bersebelahan seperti Kampung Cenderamata, Kampung Lupak Meluas Laut dan Kampung Bahagia telah menikmati bekalan elektrik secara terus oleh SESB sejak sekian lama. 

Beliau berharap agar penduduk kampung bersatu hati dan menubuhkan jawatankuasa bagi menyuarakan tuntutan  mereka secara tegas dan tersusun sehingga ke pihak yang lebih tinggi.

Hadir sama dalam lawatan ini ialah Ketua Pemuda PAS Batu Sapi, Masru Mustakim, Ketua Gerakan Anak Muda Batu Sapi, Azlani Rayqiezan, Mantan Ketua Kampung Bakau, Kamlun Hassan dan Mantan JKKK, Hj Ayahtollah Aman.