DIDATANGI ‘EJEN’ MUSA, CALVIN CHONG LAPOR POLIS

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura menegaskan tetap setia terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal biarpun ada cubaan mengajak beliau keluar parti termasuk hari ini.

Calvin Chong membuat laporan polis kira-kira jam 11 pagi tadi di Balai Polis Bandar Sandakan selepas mendakwa didatangi individu yang bertindak sebagai ejen bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman ke rumahnya.

Dalam laporan polis itu, Chong mendakwa beliau didatangi individu itu kira-kira jam 6.15 pagi dan menekan loceng serta mengetuk rumahnya hampir sejam sebelum beredar.

Beliau berkata, susulan itu beliau membuat laporan polis kerana bimbang perkara tidak baik berlaku ke atas diri dan keluarganya.

“Ada enam cubaan daripada individu berbeza-beza dan beri pelbagai tawaran supaya saya keluar parti.

“Tindakan mereka tidak sihat dan tidak bertanggungjawab. Mereka ganggu kehidupan peribadi saya dan melibatkan keluarga saya,” katanya.

Chong turut menegaskan pendiriannya untuk berdiri teguh menyokong kepimpinan yang ada sekarang biarpun pelbagai cubaan termasuk cawangan khas.

Katanya, individu terbabit sebaliknya perlu menghormati keputusan rakyat yang sudah membuat pilihan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau juga mencadangkan agar pilihan raya diadakan jika wujud mana-mana pemimpin yang lompat parti.-http://beritasabah.com