Diploma bidang perniagaan, ijazah bidang pendidikan TESL, Maitha mahu jadi pensyarah bahasa Inggeris

Oleh: Baby Nur Izzah Syahirah

KOTA KINABALU: Maitha Comendador Vender @ Nur Zafirah Abdullah, 27, yang memiliki diploma dalam perniagaan, akhirnya menerima ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Pendidikan dengan TESL) di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-24.

Maitha yang berasal dari Mindanao, Filipina berkata, beliau bercita-cita menjadi seorang pensyarah Bahasa Inggeris.

Anak keempat dari enam beradik itu menceritakan yang beliau mengetahui tentang UMS melalui kolej lamanya dan membuat carian untuk mengetahui syarat-syarat untuk masuk ke UMS.

“Pada mulanya, saya fikir UMS hanya menerima pelajar tempatan sahaja tetapi setelah bertanya dan membuat carian, rupa-rupanya UMS turut menerima pelajar antarabangsa daripada China, Filipina, dan negara-negara lain.

“Ibu bapa saya pada awalnya menyuruh saya meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan, takdir boleh berubah. Saya teruskan niat belajar dalam bidang pendidikan untuk meneruskan cita-cita saya sebagai seorang pensyarah bahasa Inggeris.

 “Saya melanjutkan pengajian saya dalam program Teaching of English as Second Language (TESL) di UMS,” katanya ketika ditemui media.

Tambah Maitha, selain ibu bapa, suaminya juga memberi galakan untuk melanjutkan pengajian ijazah Sarjana Muda.

“Bapa mertua saya yang juga pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Utara Malaysia (UUM) banyak memberi motivasi dan sokongan penuh untuk mengejar cita-cita saya sebagai seorang pensyarah bahasa Inggeris.

“Saya bersyukur keluarga dan orang-orang sekeliling menyokong saya tanpa henti dan sentiasa menjadi pembakar semangat untuk saya,” tambahnya.

Maitha merancang untuk melanjutkan pengajiannya dalam ijazah Sarjana juga dalam bidang yang sama pada tahun hadapan.