Sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki bergelar ‘doktor’ berjaya ditumpaskan polis dalam operasi di Kampung Pasir, di sini, 8 Julai lalu.
Dalam operasi jam 11.30 pagi itu, dua lagi ahli sindiket berkenaan turut ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang,
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.
Katanya, hasil serbuan yang dijalankan berjaya menemui paket plastik lutsinar pelbagai saiz di dalam kotak yang diletakkan di atas meja.
“Risikan dan maklumat kemudian membawa penahanan seorang lagi lelaki dipercayai ahli rangkaian sindiket berkenaan.
“Salah seorang yang ditahan dikenali dengan nama gelaran Doktor@Ajak. Suspek terbabit berperanan sebagai pengedar dadah syabu manakala dua rakannya itu ada ahli sindiketnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Champin berkata, kumpulan suspek ini dipercayai mengedar dalam bentuk set atau bal seberat 5.0 gram hingga 500 gram dengan harga antara RM20 hingga RM5,000 di sekitar daerah ini.
Katanya, polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini, pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah syabu di daerah berkenaan.
“Rampasan dadah syabu dalam serbuan ini bernilai RM10,000. Siasatan juga mendapati suspek terbabit tidak pernah ditangkap sebelum ini.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati positif dadah syabu,” katanya.
Menurutnya, suspek yang ditahan berusia lingkungan 50 tahun manakala dua lagi suspek berusia masing-masing 30 tahun kini direman untuk siasatan lanjut.
“Soal siasat sedang dijalankan bagi mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dalam sindiket dadah ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad