Dua “ayam” kena tahan bersama tiga kondom. Kejadian di hotel jalan Sulaman

Teknologi aplikasi WeChat dan MiChat disalahguna untuk mempromosi diri. Itu taktik dua wanita warga asing yang menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Sulaman, di sini.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral itu hanya mampu bertahan seketika apabila kedua-dua mereka berjaya ditahan polis jam 2.30 petang, semalam.

Dua wanita berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan dalam operasi Ops Noda yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi dijalankan hasil siasatan dan maklumat risikan polis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran melalui Aplikasi WhatsApp.

“Ketika ditahan, polis turut merampas tiga telefon pintar yang dipercayai digunakan untuk mencari pelanggan.

“Selain itu, polis turut menemui dua keping kondom belum guna bersama satu keping kondom yang sudah digunakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas satu kad bilik hotel dan wang tunai berjumlah RM200.

Katanya, kedua-dua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. – Asia Times