Dua konco ‘along’ ugut, simbah cat ditahan polis

TAWAU: Polis Tawau menahan dua lelaki dipercayai tali barut ‘along’ selepas melakukan ugutan dan menyimbah cat merah ke rumah mangsa di Batu 6, Jalan Apas, di sini, 24 Ogos lalu.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 29 dan 31 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Felda Umas, Kalabakan, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek diberkas susulan laporan oleh seorang lelaki berusia 27 tahun mengatakan pintu dan dinding rumahnya disimbah cat merah oleh individu yang tidak dikenali.

Katanya, individu terbabit turut meninggalkan satu pesanan pada sehelai kertas serta menulis nombor telefon, nama dan nombor kad pengenalan mangsa untuk menyelesaikan hutang.

“Suspek juga meninggalkan pesanan suara dengan ugutan untuk membakar kereta mangsa dan keluarganya serta mengugut bahawa mengetahui keberadaan mangsa.

“Susulan daripada itu, sepasukan polis dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai mengesan dan menahan kedua-dua suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, hasil siasatan awal kedua-dua suspek mengaku terbabit dengan kes yang disiasat.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, pasukan serbuan menemui satu bekas botol kosong terdapat kesan cat merah, sehelai kertas notis amaran ‘bayar hutang’ serta pen merah yang disimpan di dalam but belakang kereta suspek.

“Siasatan mendapati kejadian disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wanh online ‘along’ yang mahu menuntut hutang daripada mangsa dengan mengupah suspek untuk melakukan jenayah itu,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah mendapati, salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait dadah yang berlaku di Kinabatangan.

“Kedua-dua suspek direman sehingga 30 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran skim pinjaman selain dari syarikat perbankan dan meneliti perjanjian sebelum membuat sebarang pinjaman dari sebarang agensi pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Orang ramai juga tidak sewenangnya untuk muat naik aplikasi yang mencurigakan di dalam telefon mudah alih,” katanya. – Info X