Dua lari bertempiaran, cubaan seludup barang kawalan gagal, kejadian di Kudat

Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah barangan kawalan dalam satu serbuan di kawasan Laut Pulau Malawali di Kudat kemarin.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Kudat Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata kejadian berlaku apabila pasukannya mengesan sebuah pam bot dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan di sekitar kawasan terbabit.

“Pihak polis kemudiannya mengarahkan bot dinaiki dua lelaki itu untuk berhenti bagi menjalankan pemeriksaan bagaimanapun suspek segera melarikan diri ke kawasan daratan pulau.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan barangan kawalan yang dipercayai akan dibawa ke sempadan negara sebelum diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.

Menurutnya bot dan barang berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya. 

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM17,658 dan kes disiasat mengikut seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961.

“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *