Dua lelaki kedapatan hisap dadah di Bongawan

Dua orang lelaki di Bongawan Papar kedapatan menyalahgunakan dadah dalam satu serbuan yang dibuat polis.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata semasa ditahan kedua-dua suspek menunjukkan kelakuan mencurigakan dan suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tindakan lanjut.

“Selepas menjalani ujian urine kedua-dua suspek berumur 20-an itu positif dadah jenis Methapetamine dan AMphetamine. 

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dengan jumlah rampasan dadah jenis Syabu anggaran berat lebih kurang 0.35 gram,” katanya.

Beliau berkata kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha PDRM, khususnya IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di daerah Papar ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar memaklumkan pihak IPD Papar jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah didaerah ini,” katanya. – Utusan Borneo