KOTA KINABALU: Dua maut, masing-masing pemandu dan kelindan sebuah lori selepas terbabas lalu merempuh tiang jejambat dalam satu kemalangan dengan sebuah motosikal dekat lampu isyarat persimpangan bertingkat Indah Permai, Jalan Sepanggar, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang terbunuh iaitu pemandu lori, Sajuan Madri, 34, dan sepupunya iaitu kelindan, Eddie Hariz Zulfadzli, 18, dan kedua-dua dari Kampung Taun Gusi, Kota Belud.
Difahamkan, Eddie adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menunggu keputusan peperiksaan itu yang akan diumumkan esok.
Penunggang motosikal lelaki berusia 15 tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Likas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.23 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah lori enam tan dan sebuah motosikal jenis Honda Vario.
“Terdapat tiga mangsa terbabit iaitu pemandu dan kelindan lori tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Penunggang motosikal yang parah dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan KKM untuk rawatan lanjut.
“Selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya wujud, operasi ditamatkan pada jam 5.50 petang,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ