Dua rentung,Axia terbakar akibat kemalangan tiga kenderaan

KOTA KINABALU: Dua individu rentung dalam kebakaran kereta selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, identiti kedua-dua mangsa di dalam kereta Perodua Axia yang musnah terbakar masih belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dengan dibantu BBP Putatan kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia terbakar sepenuhnya berpunca daripada kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

“Tiga kenderaan iaitu Perodua Axia (terbakar), Perodua Viva dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dari jentera bomba dan terkawal pada 2.58 pagi.

“Hasil pemeriksaan terdapat dua mangsa rentung di dalam Perodua Axia.

“Kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ordine berkata, pemandu Perodua Viva lelaki berusia 34 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 22 tahun cedera ringan.

Katanya, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 pagi -MY METRO