‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan pada Ogos tahun depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Ruddy Awah, berkata jangkaan itu selaras tempoh DUN Sabah Ke-16 sekarang yang akan tamat pada Oktober tahun depan.

Beliau berkata, DUN Sabah tidak mungkin dibubarkan sebelum 31 Disember ini atau awal tahun depan walaupun ada tekanan terhadap kerajaan negeri untuk mengawalkan PRN17.

“DUN tidak akan dibubarkan pada tahun ini kerana tempoh DUN sekarang adalah sehingga Oktober tahun depan.

“Jadi, jangkaan untuk DUN dibubarkan pada Ogos tahun depan adalah masuk akal dan sesuai,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Karamunsing, dekat sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas ditanya mengenai bila kemungkinan PRN17 Sabah diadakan.

Katanya, GRS sudah mula membincangkan persiapan menghadapi PRN17 dan dijangka akan menggandakan persediaan ke arah itu bermula Januari ini.

Mengenai kerusi, Ruddy berkata beliau akan mempertahankan DUN Pitas yang dimenanginya ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

Beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket Bebas dengan majoriti 559 selepas mendapat 2,918 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan tiga parti lain.

Ruddy kemudian menyertai GRS dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya yakin rakyat Pitas akan terus memberi sokongan kepada saya untuk kemenangan GRS pada PRN17 nanti.

“Saya tidak takut berdepan dengan parti lawan sama ada BN, Warisan atau siapa saja, malah saya minta mereka perkuatkan jentera untuk bersaing dengan saya pada PRN17 nanti di Pitas,” katanya. – Info X