Empat lagi kawasan kena suruh PKPD mulai besok sampai 29 haribulan

Empat lokaliti di negeri ini diarah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 16 hingga 29 Jun 2021.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kesemua lokaliti berkenaan membabitkan dua di Penampang dan masing-masing satu di Kunak dan Sandakan.

Katanya, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 18 saringan dan 10 daripadanya disahkan positif COVID-19 Kampung Sundang Laut Sandakan.

Sehubungan itu katanya, saringan komuniti perlu dijalankan segera untuk mengesan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin.

“Dua lokaliti di Penampang melibatkan Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment dikesan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu.

“Sebanyak 18 kes positif direkodkan daripada 25 disaring di Country Heights Apartment dan 14 kes positif di Vista Minintod Apartment hasil saringan ke atas 21 orang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, bagi lokaliti Kampung Skim Cocos Kunak, peningkatan kes COVID-19 yang ketara dikesan dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, sebanyak 10 kes positif direkodkan dari 24 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positiviti 42 peratus. – Utusan Borneo