ESSCOM rampas rokok seludup bernilai RM180,000. Kejadian di Tawau

 Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya merampas rokok bernilai lebih RM180,000 disyaki diseludup masuk dari negara jiran di Tawau Lama, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, sepasukan anggota keselamatan yang menjalankan Op Cegah PTI Daratan menerima maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata pasukannya melakukan serbuan dan pemeriksaan di lokasi berkenaan sebaik menerima maklumat tersebut.

“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, pasukan keselamatan menemui beberapa longgokkan plastik hitam yang ditinggalkan tanpa pengawasan disyaki mengandungi rokok seludup.

“Pemeriksaan lanjut keatas plastik tersebut mendapati terdapat sebanyak 359 karton rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM 182,604.80,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, rokok berkenaan disyaki diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran di daerah ini dan sekitarnya.

“Kesemua rokok yang dirampas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ahmad Fuad merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan sehingga melumpuhkan aktiviti penyeludupan di daerah ini.

“ESSCOM akan sentiasa mengadakan operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah aktiviti penyeludupan serta kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.

“Pihak ESSCOM mengharapkan semua pasukan keselamatan di kawaSAN Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bekerjasama memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan dapat dibanteras,” katanya. – Utusan Borneo