Fadillah tiba di Sabah untuk lawatan kerja rasmi dua hari


Kota Kinabalu : Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di Kota Kinabalu bagi mengadakan lawatan kerja rasmi dua hari ke Sabah bermula hari ini.

Beliau yang diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menggunakan pesawat khas pada jam 9.40 pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sejurus tiba, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam mengadakan lawatan ke Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah jam 10 pagi tadi bagi meneliti status pelaksanaan projek persekutuan di negeri ini.

Ketibaan beliau disambut Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Makhzan Mahyuddin sambil diiringi Ewon, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury.

Dalam lawatan itu, Fadillah diberi taklimat status projek-projek berkaitan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS).

Sementara itu, petang tadi, Timbalan Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini.