FPEP anjur Seminar Penyelidikan Perakaunan Pusat Perakaunan 2022 kali ke-6

KOTA KINABALU, – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan(FPEP)Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan satu seminar penyelidikan bertajuk Seminar Penyelidikan Perakaunan Pusat Perakaunan 2022 (ACARS 2022) kali ke-6 terbuka kepada 25 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan, baru baru ini.

Seminar yang dijalankan secara hibrid itu disertai oleh lapan buah Institusi Pengajian Tinggi tempatan iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam Selangor, UiTM Shah Alam Selangor, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Vokasional Beaufort, Kolej Almacrest International, Kolej AMC dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Pemangku Pengarah Pusat Perakaunan UMS Jainurin Justine berkata, pihaknya menyeru agar lebih banyak penyelidikan dijalankan dalam bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus  (ESG) dan merujuk kepada tiga faktor utama dalam mengukur kemampanan dan kesan etika terhadap pelaburan dalam perniagaan.

“Kami mempelawa para peserta untuk menghantar artikel mereka agar dapat diterbitkan dalam UMS Accounting Centre Research Series yang disenaraikan dalam laman web MyJurnal di bawah Pusat Sitasi dan Infometrik, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar lebih banyak seminar berkaitan penyelidikan perakaunan dapat dianjurkan pada masa akan datang.

Pada seminar tersebut, sebanyak 13 kertas kerja telah dibentangkan oleh para penyelidik FPEP UMS, Pusat Perakaunan UMS, Fakulti Perakaunan UITM Shah Alam dan Fakulti Perakaunan UITM Puncak Alam.

Para peserta seminar juga berkesempatan untuk bertukar idea selain mendapat jaringan di dalam bidang penyelidikan perakaunan.