Gugur sekutu jadi calon, Umno dilihat cuba ‘sekat’ Ismail

Keputusan Barisan Nasional (BN) menggugurkan beberapa nama besar daripada barisan calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mendorong seorang penganalisis membuat spekulasi bahawa Umno cuba melemahkan pengaruh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Umno mungkin cuba membatasi Ismail dengan tidak mencalonkan beberapa sekutunya yang berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri dalam pentadbirannya

Antara tokoh digugurkan termasuk Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh), Halimah Sadique (Kota Tinggi), Dr Adham Baba (Tenggara) dan Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).

“Ini kuat mencadangkan bahawa beliau (Ismail) mungkin tidak dapat bertahan dalam politik atau menjadi perdana menteri jika Umno-BN menang PRU ini,” kata Oh kepada FMT.

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, pengecualian menteri dan timbalan menteri daripada barisan calon menjadi amaran kepada kritikan terbuka terhadap kepimpinan BN dan Umno.

Katanya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bertindak terhadap mereka yang dilihat tidak mematuhi parti, mungkin cuba melenyapkan sebarang tanggapan mengenai kelemahannya.

Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia berkata, pengecualian lima tokoh itu menunjukkan penekanan kepada kesetiaan terhadap parti.

“Bagaimanapun, ini bukan ‘pembersihan’ sepenuhnya kerana Khairy Jamaluddin masih dicalonkan,” katanya.

Khairy akan bertanding di Parlimen Sungai Buloh, yang dianggap antara kerusi paling sukar dimenangi calon BN.

Pada PRU14, R Sivarasa daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 26,000 undi.