Guna nombor pendaftaran palsu elak motosikal ditarik

TAWAU: Helah seorang remaja yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak motosikalnya ditarik oleh kedai kerana gagal membayar ansuran bulan menerima padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ketika menjalankan Operasi Kenderaan Perdagangan di Batu 4, Jalan Apas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran menggunakan ‘Mobile Computerized On-Line Payment System’ (MCOPS) mendapati motosikal jenis Yamaha Legenda itu tidak sepadan dengan nombor pendaftaran yang dipamerkan.

Malah katanya, nombor pendaftaran yang digunakan merujuk kepada sebuah kenderaan jenis kereta Proton Saga.

“Soal siasat mendapati penunggang motosikal itu memberitahu, dia terpaksa menukar nombor pendaftaran motosikal kerana tidak mahu kenderaan itu ditarik selepas gagal bayar tunggakan di kedai motosikal.

“Remaja dan motosikal dibawa BSPT IPD Tawau untuk disita dan semakan mendapati dia turut tidak memiliki lesen menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, tindakan remaja itu jelas mendatangkan kesusahan kepada pemilik kenderaan asal yang menjadi mangsa ‘klon’, selain dibebani saman trafik dan pelbagai kesalahan lalu lintas tidak dilakukan.

Motosikal milik remaja yang disita dalam Operasi Kenderaan Perdagangan di Batu 4, Jalan Apas, Tawau. – Foto/IPD Tawau

“Kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, mengenai operasi yang dijalankan, Jasmin berkata, sebanyak 14 notis saman dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 98 buah kenderaan dalam sekatan jalan berkenaan yang bermula jam 9 pagi dan terakhir 11.30 pagi.

“Hasilnya, pelbagai kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, tidak mematuhi syarat permit, menggunakan alat komunikasi, potong Q, tidak pakai tali pinggang keledar serta nombor pendaftaran,” katanya. – Info X