KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan beberapa aktiviti di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk perjalanan rentas negeri, gunting rambut dan sembayang di rumah ibadat bukan Islam bermula hari ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata selain itu kerajaan negeri juga memutuskan untuk membenarkan aktiviti melancong dalam negeri (domestic tourism), kolam memancing, rekreasi dan riadah yang tidak bersentuhan, dan aktiviti sukan yang tidak bersentuhan seperti badminton dan tenis.
“Sambutan Raya Haji dan Ibadah Korban juga dibenarkan serta pembukaan sekolah secara berperingkat termasuk tadika.
“Semua aktiviti berkenaan perlu dijalankan seperti biasa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman kepada sekolah-sekolah di negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat juga aktiviti yang belum dibenarkan sepanjang PKPP termasuk kelab malam, karaoke, pembukaan Taman Tema, perarakan keagamaan, kenduri, rumah terbuka dan sukan yang bersentuhan seperti bola sepak.
“Kerajaan Negeri Sabah mengingatkan rakyat di negeri ini dan juga pelawat untuk terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menggunakan hand sanitizer dalam semua urusan dan aktiviti yang dibenarkan untuk memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sehingga kini kerajaan Sabah telah membalanjakan lebih RM3 juta untuk membawa balik pelajar Sabah yang berada di Semenanjung.
“Sebanyak lebih 11,000 pelajar yang perlu dibawa balik dari Semenanjung dan sebelum ini kerajaan pusat telah membantu menghantar pulang 3,000 pelajar.
“Oleh itu kita perlu membawa pulang pelajar yang masih berada di Semenanjung dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dan Kementerian Pengajian Tinggi telah bekerjasama untuk memastikan ia berjalan lancar,” katanya.
Mengulas, mengenai penyampaian sumbangan berkenaan, Mohd Shafie berkata sejumlah 746,112 helai penutup mulut dan hidung dan 60,652 botol pencuci tangan pembasmi kuman disumbang kerajaan negeri kepada 221 buah sekolah kerajaan dan 15 buah sekolah swasta di negeri ini.
“Memandangkan sekolah-sekolah berkenaan akan dibuka pada masa terdekat, kerajaan Sabah berpandangan adalah wajar bekalan ini dapat diagihkan ke sekolah-sekolah seluruh negeri bagi membolehkan bekalan ini diterima kepada pelajar-pelajar agar tidak ada yang tercicir khususnya sekolah-sekolah yang berada di luar bandar.
“Bekalan ini adalah bertujuan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 dapat ditangani semaksima mungkin,” tambahnya.-http://beritasabah.com
More Stories
Gabungan GRS-PH Plus tentukan hala tuju politik Sabah hadapi PRN – Armizan
Tamu Desa Kampung Pelakat jadi pusat aktiviti keusahawanan komuniti jual produk pertanian, hasil laut di Sipitang
Aksi akhir Liga Super: Peluang pemain muda tunjuk kualiti