Hairan bau busuk, sekali cek mayat lelaki mulai mereput. Kejadian di Tamparuli

Perasaan ingin tahu orang awam terhadap bau busuk di belakang bangunan Pejabat Daerah Tamparuli, di sini, akhirnya membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.

Mayat berusia 51 tahun yang lengkap berpakaian itu ditemui kira-kira 5 petang semalam, dalam keadaan terbaring dan sudah mula mereput.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 5.25 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Richard Amplos yang beralamat terakhir di Kampung Bontoi, Tamparuli, di sini.

“Menurut ibu mangsa, seorang lelaki yang dikenali sebagai Amat datang memaklumkan penemuan mayat anaknya tidak jauh dari rumah mereka.

“Ibu mangsa terus pergi ke lokasi dan mendapati anaknya sudah meninggal dunia di kawasan semak sebelum membuat laporan polis,”’katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, kali terakhir ibu mangsa melihat anaknya pada kira-kira jam 8 pagi, Jumaat lalu, ketika mangsa dikatakan keluar untuk ke pekan Tamparuli.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 dijalankan.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya. – Asia Times